Friday 26 September 2014

Kenangan yang terindah dalam hidup saya

  ~23 Sept 2014~
         Semalam bermimpi lagi tentang Kg. tercinta...Kg.Pasir Tumboh yang saya takkan lupakan sampai nyawa bercerai badan. Saya menzahirkan rase kerinduan mendalam saya pada kg itu lewat Blog ini. Satu hari saya akan membacanya kembali dan diharapkan kenangan itu sentiasa hidup di segenap nadi & urat saraf ini.
Mana mungkin saya boleh melupakan kenangan hampir 10 tahun itu. Bermula usia 12 tahun saya disana hingga saya keluar dari kepompong sbg seorang Mahasiswi. Alhamdulillah..Pada zahirnya saya dah mencapai kejayaan, sedikit dari selautan.

Rumah kecik saya beranda depannya sama seperti ini...Lantainya diperbuat daripada buluh
     Saya bukanlah orang yang sangat susah semasa ditempat lama.Ayah baru saja membina satu rumah yang cantik yang letaknya di belakang rumah datuk & nenek saya. Rumah yang bersiling kayu yang di varnish adalah patern  rumah terkini pada zaman awal 90-an.Lantainya pula kayu kukuh yang dipasang rapat juga divarnish.Sementara itu tangga rumah pula dipasang mozek juga petern terbaharu pada masa itu.Mozek 4 segi kecik dan berbintik biru air laut itu sangat cantik dilekapkan ditangga rumah.Mencantikkan lagi keseluruhan bahagian hadapan rumah, tangganya dihiasi pula dengan pagar kayu, juga bervanish cantik.Tak sampai setahun kami bergembira di rumah baru, ayah mengambil keputusan mengangkut kami semua ke sini, ke Kg. Pasir Tumboh untuk mengerjakan tanah kebun yang dah lama dibeli tapi tak diusahakan. Di sini cerita saya bermula...
      Saya menangis bila melihat rumah baru kami semasa mula-mula pindah kesana.Sedih, kecewa, marah,terkilan bercampur baur. Sampai sekarang bila saya pejamkan mata saya boleh membayangkan setiap inci rumah kecik kami bermula dari ruang tamunya, dapurnya, satu bilik tidurnyer...segalanya bagai skrin tv yang nampak hidup & jelas dikepala saya. Pada mulanya ruang tamunya agak luas, tapi setelah datuk & nenek mahu tinggal berasingan, jadi sebahagian ruang dapurnya diambil dan dijadikan satu rumah untuk mereka, jadi ruang tamu yang tak seberapa luas itu terpaksa pula sebahagian kecilnya dijadikan bahagian dapur menggantikan bahagian dapur yang diambil untuk dijadikan rumah datuk & nenek.Berbanding rumah flat 2 bilik sekarang dengan keseluruhan ruang tamu campur dapur rumah lama kami pada kiraan saya ruang tamu rmh flat itu lebih luas ruangnya !
      Bayangkan kami 9 beranak berkongsi ruang yang sempit dengan kemudahan adalah terhad. Elektrik cuma berfungsi 12 jam sehari..Pukul 7.00ptg dipasang, 7.00pagi esoknya elektrik sudah dimatikan. Salah Seorang penduduk kampung yang kami gelar 'Pak Lah Api' ditugaskan untuk membuka & menutup generator tersebut. Jadi, pada siang harinya, tak merasalah kami nk menonton TV, mendengar radio atau menngunakan peralatan elektrik yang lain (Jika ada) . Tidur siang pula dalam keadaan panas melekit tak berkipas. Tidak keterlaluan jika saya mengatakan yang kehidupan kami dikampung itu tak ubah seperti di zaman 60 atau 70an meskipun pada masa itu sudahpun memasuki awal 90-an.
         Rata-rata orang sibuk menonton cerita Superman, Zorro atau filem melayu yang pelakon terkenalnya Sofea Jane. Zaman ini kebanyakan rumah ada mesin basuh untuk cuci kain baju.Masuk kain, letak sabun, petik jer dah siap berbasuh.Tinggal nk dijemur sahaja. Tapi kami dirumah kecik ini tak merasai semua itu.
      Benda terbaik yang kami ada di dalam rumah salah satunya adalah peti sejuk berpintu satu, yang ayah punggah dari rumah lama. Dapatlah kami merasa minum air batu terutama di bulan puasa. Selain itu ibu saya pula membuat aiskrim Malaysia pelbagai perisa dengan harga 10 sen satu batang menggunakan peti sejuk berwarna hijau jenama Nasional itu.
     Abang saya pula membeli sebiji radio kecik setelah hampir 4 ke 5 tahun berada di rumah itu. Radio itu dibeli semasa dia bekerja sebagai buruh binaan di Singapore. Selain radio  ade beberapa keping kaset penyayi tempatan yang 'femes' pada masa itu yang dibawa balik, iatu kaset penyani Nurul dan Melati yang liriknya sebahagian kecil boleh saya ingat,
      " Pak balik pak..bubur pisang dah masak.."
      " Balik cepat pak cepat jangan terlambat..."
      " Pak cepat Pak kita menggali ubi.."
      " nanti malam perut kita tak berisi.."

Keset penyayi Melati yang dibawa balik oleh abang saya

      Disebabkan ketiadaan elektrik pada sebelah siangnya, saya menggunakan 2 biji bateri sebesar lengan budak untuk mendengar siaran radio.Kampung itu terletak di kawasan berbukit bukau, jadi apa-apa saja siaran radio melayu memang susah nak 'masuk'.Kalau pun ada bunyinya berdesing-desing dan bercampur baur lagunya. Kadang-kala lagu melayu campur Siam..Pada hari yang lain pula lagu melayu bercampur lagu berbahasa India @ Cina.Tapi saya tetap bersyukur, sekurang-kurang siaran radio Singapore kedengaran agak jelas.Saya melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh, mengemas rumah, menyapu sampah dan mengasuh 3 orang adik yang masih kecil bertemankan 'Radio Singapore' itu. Kadang-kadang penyanyinya saya kenal seperti Rafeah Buang atau Rahimah Rahim. Terkadang entah penyanyi dari Singapore mane pun saya tak kenal.Janji ade suara dan muzik, saya sudah bersyukur..!
     Begitu juga dengan Televisyen. Sebagai memujuk saya agar tak keluar bekerja semasa menunggu result SPM itu, akhirnya ayah membeli satu TV bersize 16" dengan bayaran secara ansuran. Sebelum maghrib rumah saya dikerumuni budak-budak yang datang untuk menonton cerita Doraemaon pada jam 7 ptg. Walaupun tak jelas suara & gambarnya, tapi kami masih boleh bergelak sakan melihat telatah Doraemon dan Nobita. Dengan bantuan orang kampung, aerial tv itu ditegakkan pada sebatang buluh yang panjangnya hampir menyamai pokok kelapa dara. Satu lubang ditebuk ditengahnya untuk diletakkan sebatang kayu yang fungsinya adalah untuk memutar buluh aerial itu untuk mendapatkan siaran yang lebih bagus pada masa siarannya sangat teruk.
     Setelah datuk & nenek mengambil sebahagian dapur untuk dijadikan rumahnya, satu bahagian kecil yang lebarnya 1 meter lebih dan panjangnya lebih kurang 2 meter menjadi tempat kami untuk berkumpul semasa makan tengahari atau malam. Itulah bahagian dapur kami..Satu dapur kayu yang digunakan ibu saya untuk memasak air panas ada dipenjuru dapur.Kami menggunakan seruas buluh yang berlubang untuk meniup api supaya marak.Abu dari dapur kayu itu kadang-kadang mengenai kepala semasa kami sedang makan. Pada masa-masa tertentu pula abang-abang dan ayah saya akan memunggah kayu getah dari kebun kami untuk dibuat kayu api. Mereka bergilir-gilir memotong kayu menjadi kayu api yang lebih kecil/pendek dan kayu2 yang sudah dipotong itu disusun rapi dibawah rumah .Kayu-kayu itulah yang menghidupkan dapur kami setiap hari.
       Ada satu dapur gas yang berpenunu 4 yang bersamanya tersedia satu oven (yang sudah rosak). Dapur itu pun diangkut dari rumah lama kami. Disebabkan ruang yang sangat terhad dibahagian dapur, dapur gas itu diletakkan dibahagian ruangtamu. Jadi sebelum adanya TV, 2 barang ini (Peti sejuk dan dapur gas) merupakan barang yang tercantik dan terbaik yang kami ada dirumah kecil ini.Kami jarang menggunakannya sebab api dari keempat2 penunu itu sangatlah perlahan walaupun dah dibersihkan berulang kali. Sebab itu dapur kayu itu menjadi satu dapur kegemaran jika ingin memasak dalam kuantiti yang banyak dan cepat, walaupun terpaksa berpenat lelah meniup api menggunakan cerobong buluh.Cuma pada hari raya sajalah, saya suka menggunakan dapur gas ini untuk membakar biskut raya kerana apinya yang perlahan memang sesuai untuk membakar biskut.
       Dalam ruang dapur yang sempit itu juga pinggan mangkuk, gelas, periuk dan peralatan dapur diletakkan.Satu para pinggan yang juga perbuat dari buluh diletakkan dipenjuru dinding  disebelah lagi..Para itu dibuat dengan meraup buluh dijadikan bilah selebar lebih kurang 2cm dan dipakukan ke atas 2 ketul bongkah kayu.
       Sementara itu, lantai dapur kami pula di perbuat daripada kepingan papan dan disusun dengan meninggalkan satu ruang seluas lebih kurang 1/2 cm masing-masingnya.Kami masih boleh melihat ayam-ayam berebut mematuk makanan yang jatuh semasa makan dari celah lubang lantai. Kegemaran saya dan emak adalah tidur petang di bahagian dapur sebab disini saja bahang panas tak terasa kerana berdekatan dapur kami adanya pokok durian belanda atau kami gelar durian selat berbuah lebat.Kadang kala buahnya yang masak itu jatuh menimpa zink rumah yang akhirnya menjadikan bentuk zink itu kelihatan menyenget dan kemek disana sini.Tapi emak tetap tak mahu menebang pokok tersebut disebabkan fungsinya diatas.
     Menganjur dari ruang dapur adalah tempat kami mandi, membasuh baju,membasuh beras dsb. Lantainya merupakan buluh-buluh yang diikat rapat. Buluh-buluh itu ditebang sendiri oleh ayah dengan bantuan abang2 saya dari pokok2 yang banyak terdapat dibelakang rumah .Sementara itu, sekeping zink dijadikan dinding 'bilik 'air' kami yang sisi kanannya menghadap ke jalan kecil. Bila saya menunduk untuk membasuh kain atau mencuci beras, sebahagian besar kepala saya masih boleh di lihat dari arah jalan kecil dihadapan rumah yang menjadi  tempat penduduk kampung lalu lalang. Disebabkan lantai buluh itu tidak sesuai untuk membasuh pakaian kerana permukaannya yang tidak rata, emak telah memaku kepingan-kepingan papan diatas 2 bongkah kayu sebagai tempat membasuh pakaian.
      Apabila saya pulang bercuti dari asrama, tugas membasuh kain baju menjadi tugas rutin saya setiap hari kerana emak mengikut ayah menoreh getah dan oleh kerana keluarga kami adalah keluarga yang besar, hampir setiap hari 2 besen besar pakaian kotor  menjadi habuan saya. Tangan dan kaki saya menjadi kebas kerana bertinggung lama menyudahkan pakaian kotor. Semasa cuti sekolah pula, kami adik beradik termasuk 2 orang abang tiada istilah bercuti rehat. Dua orang abang saya terpaksa mengikut ayah menoreh getah dan jika hari hujan pula mereka akan menebas semak-samun dikebun buahan berdekatan dengan kebun getah. Pada masa-masa tertentu pula, abang-abang saya mengambil upah menebas kebun-kebun milik orang kampung sebagai sumber pendapatan harian. Sekali sekala ada juga saya mengikut ayah menoreh getah, itupun jika emak kurang sihat. Dengan berbekalkan ikan selayang rebus, nasi panas dan budu yang diletakkan cili padi, saya bersama ayah dan 2 orang abang , berselera makan nasi bekal, itupun setelah habis menyelesaikan tugas-tugas.
 
Ladang getah yang menarik


     Begitulah kehidupan kami 3 beradik yang sudahpun dewasa pada masa itu. 2 minggu sekali pulang dari asrama sekolah bukanlah masa untuk kami berehat dan bersenang lenang seperti rakan-rakan sebaya. Saya dengan tugas rutin dirumah, mengemas, memasak, menyapu sampah, mencuci lantai dsb.Abang2 saya pula bertungkus lumus menolong ayah menoreh getah & menebas kebun. Apabila RISDA menjalankan program TSB (Tanam semula berkelompok), iaitu kebun getah lama ditebang dan ditanam dengan pokok getah yang baru, tugas kami adik-beradik semakin bertambah. Sebelum getah2 ditanam dikebun, anak-anak pokok getah mestilah disemai terlebih dahulu kedalam satu polybag hitam. Kami adik beradik mengambil upah untuk mengisi tanah-tanah didalam polybag tersebut. Suasana di tapak semaian getah bagaikan pesta dengan masing-masing sibuk membuat tugasan mereka sendiri. Kaum lelaki akan mengcangkul tanah dan menggemburkannya supaya senang untuk dimasukkan kedalam polybag semaian. Kaum perempuan pula sibuk memasukkan tanah-tanah kedalam polybag dan menyusunnya secara rapat-rapat disatu tempat.


Kami memasukkan tanah untuk menyemai anak getah didalam polybag hitam seperti ini
      Kami melakukan kerja-kerja semaian anak pokok getah dibawah langit terbuka. Tiada berbumbung atau apa-apa peneduh. Oleh kerana itu kami memulakan kerja awal pagi ketika matahari belum muncul dan sebaik matahari pijar dikepala, masing2 berhenti tugas dan akan menyambungnya kembali keesokan hari.
      Pada masa itu, kebanyakan penduduk kampung saya bekerja sebagai penoreh getah. Rata-rata penoreh getah membuat getah keping berbeza sekarang, dimana mereka tidak lagi gemarkan cara yang sedemikian yang renyah dan memerlukan masa yang panjang. Banyak kali saya mengikut ayah menoreh getah, sedikit sebanyak cara memproses getah beku terlukis dikepala saya. Menjelang tengahari, iaitu sekitar jam 11 ayah selesai menoreh dan mengutip susu getah. Dari sepokok ke sepokok yang lain saya akan menolong ayah mengutip susu getah dan susu getah itu pula akan dimasukkan kedalam satu baldi yang besar.Yang paling sukar adalah membawa naik atau turun baldi besar  berisi susu getah kerana jalannya yang licin dan berbukit pula. Saya berasa sangat kasihan melihat ayah mengimbangi badan menuruni bukit sambil menjinjing satu baldi berisi susu getah. Baju dan seluar basahannya sarat terpalit susu getah lama menjadikan baju itu tidak mempunyai warna lain selain kelabu & hitam. Dengan berkasut getah hitam, ayah kuat membawa susu-susu getah ke tempat pemprosesan getah. Kadang-kala saya melihat susu-susu putih itu memercik dirambutnya, menjadikan hati saya sedikit tersentuh hiba.
       Seingat saya, susu getah itu akan dimasukkan kedalam bekas yang dipanggil 'takung' berbentuk 4 segi bujur dan diperbuat daripada alumanium (Agaknya). Kemudian cuka getah pula dimasukkan disetiap takung serta dikacau sampai lama-kelamaan susu getah itu mulai membeku sedikit demi sedikit.Bila sudah betul-betul beku, susu itu akan dikeluarkan dari takung dan bermulalah proses meleperkan. Saya masih ingat lagi ayah akan menumbuk getah beku menjadikan beberapa bahagian getah beku itu menjadi berkeluk-keluk bulat seperti lesung pipit. Setelah itu getah  beku itu mula memasuki mesin yang dikendalikan secara manual. Pada ingatan saya ada 2 jenis mesin yang biasa ayah gunakan. Satu mesin yang permukaannya licin tak bercorak, berfungsi untuk meleperkan getah. satu mesin lagi merupakan mesin yang permukaannya bercorak gerigi menyerong. Apabila getah melalui mesin itu, corak-corak bergerigi akan timbul pada permukaan getah.


'Takung' yang digunakan untuk mengisi susu getah

ayah menggunakan mesin getah seperti ini untuk membuat getah keping
      Kebanyakan rumah penduduk kampung pada masa itu menyimpan getah yang siap diproses dengan menggantungnya dibawah rumah mereka. Salah satunya adalah rumah yang saya panggil Pak cik Musa. Rumahnya berdekatan dengan rumah saya dan melalui depan rumahnyalah saya kekedai runcit Mak rendah Timah setiap hari apabila ingin membeli barang2 keperluan harian.Apabila melalui rumahnya, hidung kembang kempis hidung saya apabila terbau getah-getah yang dijemur dibawah rumahnya. Sekarang bila saya pejamkan mata, tidaklah sukar bagi saya untuk membayangkan bau getah2 tersebut kerana ianya seakan sudah sebati dalam diri saya sejak dulu.
        Di kampung saya pada masa itu, kebanyakan rumah penduduk kampung diperbuat daripada kayu, cuma sesetengah rumah termasuk rumah saya, rumah datuk & nenek, rumah jiran yang saya panggil Pak Do Hassan,rumah Pakcik Harun dan rumah Mok Kecik saja diperbuat daripada buluh. Rumah kecik saya atapnya diperbuat daripada zink dan dindingnya pula adalah buluh-buluh yang dijalin rapat membentuk satu corak seakan geometri. jika dilihat dari sebelah luar, kelihatan bentuknya sedikit condong kebelakang. Ayah terpaksa menopang dinding belakang dengan sebatang kayu yang kukuh untuk menguatkan strukturnya. Ada satu beranda didepan rumah yang tiangnya diperbuat daripada kayu tapi berlantaikan 2 keping papan dan selebihnya adalah buluh yang diraut selebar 2 jari.


Rumah kecik saya dindingnya bercorak seperti ini

Rumah ini mirip seperti rumah kecik saya
       Disebabkan tiada apa-apa yang menarik didalam rumah,diberanda inilah saya duduk berjuntai kaki memandang jalan tempat penduduk lalu lalang selepas penat membuat kerja2 rumah. Diberanda ini juga menjadi tempat saya dan teman sekampung, iaitu Ani anak Pakdo Hassan (Didepan rumah) berbual-bual kosong dan kadang-kala makan colek buah jambu air yang dipetik didepan rumah nenek. Diberanda itu juga ayah dan kawan-kawannya, Pok Loh Api, Abe Nor balak, Abe Nor Jepun, Zaidi, Pok Ya, Pok Cik Harun, Pak Cik Musa dan ramai lagi bermain satu permainan semacam permainan Domino yang lebih kami kenali sebagai   'Permainan Balak'. Permainan sebegini menjadikan suasana malam lebih meriah walaupun tanpa televisyen terpasang. Selepas nenek membuat rumah bersebelahan dengan rumah saya, lokasi permainan ayah dan kawan-kawan bertukar pula keberanda rumah nenek kerana disana suasananya lebih menarik. Saya ingat lagi betul-betul berhadapan rumah nenek itu ada sepohon jambu air berbuah lebat sentiasa. Sambil bersembang atau bermain permainan balak, buahnya yang besar & sedap itu boleh dipetik dan dimakan terus.
 
Kami gelarnya 'permainan balak'

      Beranda rumah nenek itu memang menjadi kegemaran jiran-jiran tetangga untuk datang melepak dan bersembang baik diwaktu petang atau malam. Contohnya Abe Nor Jepun dan isterinya hampir setiap hari, sekitar jam 3  ke 4 ptg mereka setia bersantai diberanda rumah nenek, sekadar berbual kosong sambil menggulung rokok daun bersama tembakau. Saya juga tidak terkecuali turut sama diantara mereka. Nenek pula suka menghulurkan kepalanya yang dipenuhi uban kepada saya untuk dicabut setiap kali saya ada disitu. Sambil matanya sedikit terpejam melayan 'keasyikan' tangan saya mencabut uban2 tersebut, mulutnya masih boleh melayan perbualan Abe Nor Jepun dan jiran tetangga yang datang berbual kosong.
      Apabila hari semakin petang sekitar jam 5 ke 6, kawan saya Ani Pakdo Hassan suka mengajak saya berjalan-jalan di tepi sungai yang disitu tersedia satu pangkalan untuk motorboat berlabuh. Pada masa itu pengangkutan motorboat menjadi pengangkutan utama untuk  ke pekan Bertam. Di Bertamlah terdapatnya stesen keretapi yang menghubungkan tempat saya samada untuk ke Kuala Lumpur atau ke Kuala Krai, iaitu tempat saya belajar menuntut ilmu. Dipangkalan itu, selain ralit melihat motorboat yang keluar masuk, kami terhibur melihat anak-anak kampung mandi-manda disungai tersebut. Kegemaran kami yang lain juga adalah bersiar-siar diwaktu petang dengan menaiki motosikal , sekadar mengambil angin petang, menuju ke jalan kecil hala kekebun ayah. Suatu hari, saya tersilap langkah apabila motosikal yang saya tunggang dengan Ani sebagai pemboncengnya, terperosok jatuh kedalam longkang. Terdapat sedikit kesan luka disekitar bahu dan lengan saya, menjadikan saya serik menunggang motosikal sehinggalah sekarang. 




Keretapi seperti inilah yang membawa saya ke Sekolah Men. Dabong & Sek. Sultan Yahya Petra. Foto Ini adalah stesen keretapi Gua Musang.
Stesen Keretapi Dabong sedikit masa dahulu
     Ani adalah sahabat baik saya sejak saya mula-mula sampai kekampung tersebut sehingga masing-masing menginjak dewasa. Lantaran kemiskinan hidup, dia hanya bersekolah setakat darjah enam sahaja. Sejak usia belasan tahun lagi, kami sentiasa berkongsi cerita sedih dan gembira bersama-sama. Acap kali paip air dirumah kami tidak berfungsi, bersama dialah saya mengusung sebesen penuh kain basuhan menuruni bukit kecil untuk mencucinya disungai. Setelah siap mencuci kain basuhan, masa yang kami tunggu-tunggu adalah mandi sungai. Dengan berkain basahan kami menyelam dan berkejaran didalam sungai separas pinggang.


Rumah rakit ini seperti Rumah rakit yang ada di Kampung PT sedikit masa dahulu.Pada waktu petang saya & Ani gemar mengambil angin disini. (Sumber: Google)

Ketika kami teringat untuk makan sayur pucuk paku, bersama dialah saya akan mengutipnya ditebing-tebing sungai. Kadang kala dalam hujan renyai juga kami tahan mengutip satu persatu pucuk-pucuk paku dan membawa balik untuk digoreng kicap, dicampur pula dengan ikan bilis dan cili padi.Ia menjadi sayur kegemaran kami anak beranak terutama datuk yang pasti akan tersenyum riang jika saya menghulurkan sepinggan pucuk paku goreng kepadanya. 
Selepas musim hujan, cendawan hutan yang kami gelar 'kulat sisir' terdapat banyak dibatang-batang kayu getah yang telah ditebang untuk projek TSB. Setiap kali musim tersebut, saya bersama Ani dan beberapa lagi rakan sebaya bertungkus lumus memanjat bukit bagi mendapatkan kulat2 sisir tersebut. Suasana sekali lagi bertukar seperti pesta dengan masing-masing berlumba untuk mendapatkan hasil terbanyak. Kulat sisir itu sedap dimasak sayur lemak putih ataupun digoreng bersama telur goreng, dan perencahnya adalah bawang merah,bwg putih dan cili padi yang ditumbuk hancur.
Kulat sisir yang tumbuh dibatang kayu.
      Bulan Ramadhan adalah salah satu bulan yang mempunyai kenangan tersendiri buat saya. Pada masa ini, keakraban diantara keluarga saya dan jiran tetangga ternampak jelas. Diwaktu sahur, jika ada antara kami ternampak rumah masih bergelap gelita menandakan penghuninya terlena tidur, masing-masing rajin mengetuk dinding rumah, mengejutkan jiran supaya bangun bersahur. Antara jiran tetangga yang rajin mengetuk dinding rumah saya adalah Kak We Romah,Allahyarhammah nenek saya dan Mak Do (Emak Ani) yang berada dihadapan rumah saya.
    Pada bulan ramadan juga, disebabkan tiadanya aktiviti masak-memasak pada tgharinya, saya & Ani akan bersembang samada 'digere' rumah saya atau rumah nenek, ceritanya sudah tentulah tentang menu apa yang nak dimasak sewaktu berbuka puasa dan bersahur nanti. Selalunya, antara kuih-muih yang menjadi pilihan saya untuk dimasak adalah seperti puteri mandi, onde2, cendol dan kuih butir nangka.Setiap petang juga, upacara berbagi lauk pauk dan kuih muih diantara kami akan berlangsung. Masing-masing akan saling menghantar sepinggan lauk @ kuih dan sudah pasti balasannya berupa lauk pauk @ kuih muih yang berlainan. Jadi dapatlah kami merasa pelbagai hidangan meskipun bukan dari dapur kami.
kuih Puteri Mandi yang menjadi kegemaran saya pada bulan puasa

Kuih Butir Nangka...mendapat tempat istimewa dalam kalangan keluarga saya
       Tibanya hari raya, lain pula kisahnya.Saya gemar membuat perancangan menyambut raya dari awal lagi supaya tidak timbul sebarang kesulitan nantinya, semetelah bila saya bersekolah dan tinggal diasrama, sudah pastilah masa berada dirumah kecik adalah terhad. Disebabkan dinding rumah saya diperbuat daripada buluh, cara tercantik bagi kami untuk menyerikan hari raya adalah menampal semua dinding dengan suratkhabar lama.Jadi dinding yang nampak berlubang teruk atau warnanya telah pudar, akan menjadi serba putih. Saya akan memasak tepung gandum diatas api yang kecil sampai likat untuk dibuat gam bagi menampalnya kedinding. Itulah 'wallpaper' kami.
      Selain daripada itu, projek membasuh lantai dibahagian luar rumah & dapur juga termasuk didalam list. Saya menggunakan berus lantai khas untuk memberus lantai yang berlumut disebabkan kami tidak mampu membeli tikar getah walaupun ruangnya yang sempit tidaklah memerlukan tikar getah yang banyakpun.Membasuh lantai memerlukan tenaga yang banyak untuk menyentalnya dan juga membilasnya sampai bersih.Kadang-kadang tenaga adik-adik saya diperlukan untuk meringankan beban tambahan pulak sewaktu bulan puasa.
      Dari segi biskut raya pula, saya akan membuatnya seminggu atau 2 minggu sebelum raya.Biskut yang tidak pernah 'miss' saya buat adalah semperit, biskut kacang dan kuih siput.Sebelum itu saya menerap semua biskut raya menggunakan acuan plastik yang coraknya cuma beberapa jenis shj, tetapi setelah abang-abang saya bekerja di Singapore, mereka bermurah hati membeli acuan biskut yang coraknya lebih banyak. Acuan logam itu didatangkan bersama lebih daripada 10 corak untuk membuat biskut raya dengan cara menerap.Apalagi, bermacam-macam bentuk biskut raya terhidang pada tahun tu.
Beginilah rupanya acuan biskut diperbuat daripada logam yang dibeli oleh abang di Singapore
     
      Selain hidangan biskut raya, ibu saya memang tak 'miss' untuk membuat ketupat daun palas dicecah bersama kari daging. Dia memang seorang yang pakar mengayam ketupat daun palas, sampaikan ramai kaum-kaum ibu seperti Kak We Romah, Ani dan Makdo datang belajar mengayam tapi apa yang saya tahu, sampai kesudah mereka tak berjaya membuatnya..! Itulah keistimewaan jari jemari ibu saya.
   
Ketupat daun palas
     
Selain ketupat, ibu saya juga mahir membuat tapai beras pulut.Selalunya tapai2nya akan 'masak' dan rasanya sangat manis menjelang hari raya. Tapai-tapai itu dibungkus dengan menggunakan daun getah dan dicucuk hujungnya dengan lidi yang diraut tajam.
     Saya pula lebih menggemari lemang berbanding ketupat palas. Keluarga saya bukanlah seorang yang mahir membuat lemang, tapi setiap tahun rumah saya akan menerima beberapa batang lemang yang diberi oleh tetangga, selalunya oleh Abe Nor Jepun, PakDo Hassan atau PakSu Deraman yang berada disebelah rumah datuk saya. Pada malam rayanya saya begitu seronok melihat tetangga membakar lemang sambil melayan adik-adik & anak jiran tetangga bermain bunga api dilaman rumah.


Tapai beras pulut yang dibungkus dengan daun getah
      Rumah kecik saya memang menjadi kegemaran ramai tak kira yang tua, kanak-kanak atau orang muda untuk bertandang pada hari raya. Maklum sajalah, dirumah saya adanya '3 kuntum bunga' yang sedang mekar iaitu saya, adik (yang muda 5 tahun daripada saya) & juga emak saudara (Tua 2 tahun drpd saya). Sebelah paginya, selepas sembahyang raya, saya akan bertungkus lumus melayan tetamu yang datang. Ketupat palas kena bertambah-tambah didalam pinggan.Air minuman berkali-kali kena dibancuh.Pinggan mangkuk pula bertimbun menunggu masa untuk dicuci.
     Disebabkan pada waktu pagi membawa ke tengahari saya sibuk melayan tetamu, sebelah petangnya adalah masa saya untuk berjalan kerumah teman-teman sekampung. Seperti biasanya hampir setiap rumah terhidang lemang buluh dicicah kari ayam atau 'nisse cair'. Jarang sekali rumah yang membuat biskut raya moden, kalau adapun mungkin biskutnya boleh didapati dirumah Kak Ipah yang berada dihujung kampung. Kak Ipah menjual makanan seperti nasi kerabu & kuih-muih berhadapan dengan sekolah saya. Nasi kerabunya sangat lazat dan sambal ladanya yang diletakkan didalam nasi kerabu itu sungguh sedap ditekak saya. Kali terakhir saya berjumpa dengannya didalam keretapi semasa dia pulang dari hospital kerana keguguran. Dia berkahwin dengan seorang Indonesia yang datang kekampung kami untuk bekerja sebagai buruh binaan.
     Begitulah sedikit secebis kisah saya hampir 10 tahun berada di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang, Kelantan. Saya belajar menjadi manusia yang kuat disini. Saya juga belajar menjadi seorang yang menerima seadanya, pemerhati setia & tak lokek berbagi apa saja. Kesusahan & keperitan hidup telah menjadi guru terbaik untuk diri saya dan keluarga menjadikan kami lebih rapat & saling menjadi kayu penompang untuk ahli keluarga yang hampir rebah. Benar saya rasa sedih & kecewa sedikit masa dulu. Saya juga memandang dunia dengan gelap & naif disebabkan kehidupan yang serba daif, namun jauh disudut hati yang paling dalam saya memasang angan untuk hidup yang gemilang iaitu dengan berjaya dalam pelajaran.
      Bertitik tolak dari itulah saya bertatih dari bawah melangkah setapak demi setapak, mendaki setangga demi setangga untuk menggenggam sesuatu yang saya panggil 'kejayaan'.Alhamdulillah..saya harus bersyukur mendapatnya setitik dari selautan....




Inilah sedikit kejayaan yang saya maksudkan.Memiliki rumah sendiri yang selesa, bezanya amat ketara berbanding rumah kecik saya

Ruang tamu kediaman

Kedua ibu bapa saya yang amat tabah membesarkan kami 7 beradik dlm serba kedaifan

Rumah milik ibu bapa saya. Bezanya bagai langit & bumi. (Suasana hari Raya Aidilfitri 2013)

       
Saya tidak mempunyai sekeping gambarpun untuk rumah kecik saya...Rumah diatas sedikit sebanyak menyerupainya  cuma bezanya atap rumah saya diperbuat drp zink sedangkan atap rumah diatas diperbuat daripada kanvas biru







     
       
Read more: http://www.adibsite.com/2014/11/pasang-facebook-comments-responsive.html#ixzz3Pd3lfqkd

1 comment:

  1. Coretan yang amat menarik, membekas dlm hati dan banyak pengajaran.

    ReplyDelete